comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis siasat pihak ‘intai’ rumah perlindungan kanak-kanak dikaitkan GISBH

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Polis akan menjalankan siasatan berhubung pendedahan terdapat pihak ‘mengintai’ rumah perlindungan menempatkan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci memandangkan terdapat beberapa rumah perlindungan yang menempatkan kanak-kanak berkenaan.

“Nanti kita siasat pasal ia ada rumah perlindungan di Negeri Sembilan, ada di Selangor,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini yang disempurnakan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan, ada pihak cuba ‘mengintai’ bagi mendapatkan keberadaan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISB Holdings (GISBH).

Bagaimanapun, Nancy dilaporkan berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada perbuatan itu dilakukan oleh ibu bapa kanak-kanak tersebut atau sebaliknya.

Berikutan itu, pihaknya telah memperketatkan kawalan keselamatan bagi melindungi kanak-kanak terlibat.

Pada 11 September lalu, polis dan pelbagai agensi berkaitan melancarkan Op Global dan menyelamatkan ratusan kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.

Serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini