BUKIT MERTAJAM: Polis membuka kertas siasatan berhubung resit pesanan seorang pelanggan di sebuah restoran makanan segera di Taman Inderawasih, Perai, di sini yang tertera catatan berbaur provokasi menghina agama Islam hingga ia tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pekerja restoran berkenaan tampil membuat laporan polis semalam berhubung insiden berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan laporan itu pekerja mendakwa menerima satu pesanan dalam talian daripada pelanggan melalui laman sesawang premis terbabit pada 8.27 malam.
“Semakan yang dibuat pada resit pesanan itu terdapat catatan remarks (komen) yang menghina agama Islam yang dihantar oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Melalui laporan pekerja itu polis kemudian melakukan siasatan terhadap individu yang membuat pesanan terbabit, namun dia menafikan membuat pesanan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, individu itu mendakwa laman sesawang restoran berkenaan tidak mempunyai ciri keselamatan pengguna untuk membuat pesanan.
“Ia apabila dia mengesyaki butir peribadi dan alamatnya disalah guna oleh individu lain,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu tular di media sosial hari ini apabila paparan resit yang tertera tarikh tempahan pada 13 September 2024 itu dimuat naik dan dikongsi pengguna.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.