comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis tahan dua lelaki, sita kenderaan papar gambar Agong pada kempen PRK KKB

Foto hiasan

HULU SELANGOR: Polis menahan dua lelaki dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim dalam kenyataan hari ini berkata kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60 tahun itu ditahan di sekitar Ulu Yam Lama, dekat sini selepas polis menerima laporan mengenainya pada pukul 6.18 petang semalam.

“Kenderaan tersebut meletakkan gambar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan gambar Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta di belakang kenderaan terdapat bendera parti,” katanya.

Beliau berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan kedua-dua suspek dengan seorang daripadanya memiliki rekod jenayah lampau, direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ahmad Faizal berkata kertas siasatan kemudian akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan pandangan dan arahan selanjutnya.

Beliau turut menasihatkan parti politik supaya tidak memainkan isu sensitif membabitkan raja, bangsa dan agama (3R) kerana ia mampu mewujudkan suasana tidak harmoni dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini