
KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang peniaga yang mengaku mencuri barang kemas milik isteri abang angkatnya bernilai RM237,000 ketika bermalam di rumah pasangan itu sebelum ini.
Lelaki itu kemudian ditahan reman selama empat hari bermula hari ini selepas siasatan polis mendapati barangan kemas milik pensyarah perubatan itu dijual di sebuah kedai emas di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan koleksi barangan kemas daripada wanita itu yang disimpan di rumahnya di Bukit Wan, Rakit, Kuala Nerus, pada kira-kira jam 2.04 petang Sabtu lalu.
Beliau berkata, kehilangan barang kemas itu dipercayai berlaku sejak November lalu, namun mangsa hanya menyedarinya pada Jumaat lalu selepas usaha mencarinya bersama ahli keluarga gagal.
“Pensyarah perubatan itu tinggal di rumah berkenaan bersama suami, empat anak, seorang pembantu rumah dan suspek yang juga adik angkat kepada suaminya.
“Susulan siasatan dan risikan dilakukan polis semalam, kira-kira jam 3 pagi sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BHJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu berjaya menahan lelaki itu yang juga adik angkat kepada suami mangsa di jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.
“Suspek yang berusia 31 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut yang membawa kepada pengakuannya mengambil barang kemas berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Azli berkata, lelaki itu kemudian membawa polis ke sebuah kedai emas di Kuala Terengganu dan polis merampas satu buku resit serta logam berwarna kekuningan disyaki emas.
Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini dan IPD Kuala Terengganu berjaya menyelesaikan kes berkenaan kurang daripada tempoh 24 jam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua, boleh dipenjara serta dikenakan denda atau sebatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.