comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis tahan lelaki ubah suai gambar Setiausaha Kerajaan Kelantan

Foto hiasan

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kerana disyaki memburukkan nama kerajaan Kelantan dan mengubah suai gambar Setiausaha Kerajaan negeri itu dalam aplikasi TikTok.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek ditahan pada jam 5.30 petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sebuah rumah di Taman Kuantan Jaya, Kuantan, Pahang.

Beliau berkata suspek ditahan susulan polis menerima laporan kes berkenaan daripada pengadu yang melihat aplikasi berkenaan.

“Dalam hantaran itu memaparkan gambar seakan susuk tubuh Setiausaha Kerajaan Kelantan beserta ayat-ayat yang memburukkan nama baik kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki berkata polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Realme 11 5G dan sebuah komputer riba jenama Avita.

“Suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkait Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbaya 1952 dan direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komuniksi Multimedia dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini