Tumpuan :
Nasional

Polis tahan penghantar makanan dan ejen insurans dalang sindiket dadah, rampas syabu 24.5kg

Jauteh menunjukkan kotak yang berisi dadah jenis syabu susulan penahanan dua lelaki di KKIA, Khamis lalu. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Polis tahan dua lelaki dipercayai dalang dan keldai sindiket pengedaran dadah di negeri ini selain turut merampas 24.5 kilogram (kg) syabu yang dianggarkan bernilai RM800,000.

Ejen insurans dan penghantar makanan yang masing-masing berusia 24 dan 28 tahun itu ditahan pasukan Narkotik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah di lokasi berasingan di bandar raya ini, Khamis lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata suspek pertama asal negeri ini ditahan sebaik tiba di KKIA, pada jam 8.30 pagi 7 November lalu ketika membawa barang larangan dalam beg ke dalam pesawat.

“Hasil maklumat dan risikan aktiviti sindiket pengedaran dadah, sepasukan polis Narkotik KKIA bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah membuat pemantauan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

“Seorang lelaki, penghantar makanan berusia 24 tahun ditahan bersama dua beg dan selepas diperiksa bagasi itu mengandungi 23 kotak bungkusan Rich & More!.

“Pemeriksaan lanjut menemui 24.5kg syabu dianggar bernilai RM800,000 mengikut harga pasaran,” katanya pada sidang media di IPK Sabah, di sini, hari ini.

Soal siasat terhadap suspek membawa kepada penahanan lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai ejen insurans, disyaki antara dalang sindiket pengedaran dadah di Sabah.

“Buat masa ini polis masih menyiasat lanjut bagi mengenal pasti bagaimana suspek memperoleh bekalan dadah di Semenanjung. Juga bagaimana suspek boleh membawa bekalan dadah menaiki penerbangan masuk ke negeri ini.

“Melalui penahanan kedua-dua suspek, polis turut merampas pelbagai barangan, antaranya barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dan wang tunai,” katanya.

Katanya, ia kejayaan JSJN Sabah menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menggunakan penerbangan awam.

“Hasil soal siasat terhadap suspek pertama, polis tidak menolak kemungkinan dia terbabit jenayah lampau selepas mengaku pernah membawa dadah bernilai RM10,000 ke negeri jiran sebelum ini.

“Suspek pertama dipercayai berperanan sebagai keldai dadah, menyelesaikan tugasan mengambil dadah dari Kuala Lumpur dan hantar ke lokasi diarahkan sindiket atasan.

“Suspek menerima upah RM1,000 setiap satu kg dadah yang dibawa masuk ke Sabah. Bekalan dadah dibawa dari Semenanjung ini untuk kegunaan pasaran tempatan yang boleh diedarkan kepada 81,000 pengguna,” katanya.

Katanya, dua suspek itu direman sehingga 15 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini