Tumpuan :
Jenayah

Polis tembak mati lelaki dengan 24 rekod jenayah lampau

Anggota polis melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian seorang penjenayah ditembak mati pagi tadi. – Foto: NSTP

PASIR PUTEH: Polis menembak mati seorang lelaki yang mempunyai 24 rekod jenayah lampau selepas berbalas tembakan di Jalan Jeram Pasu pada jam 5.30 pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 31 tahun bekerja sebagai penarik kereta, merupakan individu paling dikehendaki dengan memiliki 17 rekod jenayah dan tujuh kes berkaitan narkotik.

Katanya, sebelum kejadian itu, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan mengadakan operasi cegah jenayah dan mengesan suspek menaiki kereta Proton Bezza.

“Polis kemudian mengejar suspek dari Melor, namun lelaki itu bertindak memecut kenderaan dan diekori sehingga ke lokasi kejadian di Jalan Jeram Besu.

“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan keluar dari tempat duduk pemandu dan terus menembak ke arah anggota polis,” katanya kepada media pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan dan suspek maut di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan dilakukan dalam kereta suspek menemui sepucuk pistol semi auto, pistol tiruan, sebilah parang dan sebungkus tembakau yang dipercayai untuk diseludup masuk ke dalam penjara,” katanya.

Beliau berkata, mayat suspek dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk bedah siasat.

“Pada masa sama, pihak polis juga akan melakukan siasatan lanjut jika ada suspek lain terbabit dalam kes berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini