comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis tidak sabotaj Program Himpunan RX-Z 5.0

 

KUALA TERENGGANU: Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu, menafikan dakwaan mensabotaj Program Himpunan Yamaha RXZ 5.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus semalam.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, mereka melaksanakan sekatan jalan raya selepas menerima aduan dari orang ramai bersabit penunggang motosikal RXZ menunggang secara berbahaya dan bunyi ekzos yang terlalu kuat sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Sekatan Jalan Raya (SJR) merupakan sebahagian operasi khas penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal selama sebulan sejak 1 September yang dilakukan oleh kedua-dua agensi itu.

Penganjur juga telah diberi peringatan agar semua peserta yang menyertainya perlu mematuhi peraturan undang-undang ditetapkan bagaimanapun ada yang berbuat onar dan tular di media sosial.

“Operasi yang dilaksanakan ini dengan kerjasama PDRM dan JPJ yang sebenarnya hanya menjalankan amanat dan tanggungjawab tanpa ada desakan atau arahan dari mana-mana pihak.

“Operasi ini adalah tugas rutin yang biasa dilaksanakan lebih-lebih lagi yang membuat gangguan ketenteraman awam dan boleh menyebabkan kemalangan oleh pemandu yang tidak bertanggungjawab.

“Untuk makluman operasi ini turut saya maklumkan kepada Menteri Besar Terengganu dan beliau memahami operasi yang dijalankan oleh PDRM dan JPJ, turut dimaklumkan kepada IGP dan Menteri KDN”, katanya.

Jelasnya, penganjuran program tersebut pada edisi sebelum ini juga berjalan lancar tanpa memerlukan tindakan penguatkuasaan kerana syarat tidak dilanggari seperti tahun ini.

Dalam pada itu, Mazli memberitahu operasi selama dua hari sehingga kelmarin telah menahan 185 motosikal Yamaha RXZ atas pelbagai kesalahan trafik sebelum 111 daripadanya disita bagi siasatan lanjut.

Seramai 205 penunggang motosikal jenis itu turut ditahan termasuk dua remaja bawah umur yang tidak memiliki lesen memandu.

Antara kesalahan trafik lain yang dikesan ialah tiada atau mempamerkan nombor pendaftaran yang mengikut spesifikasi, mengubahsuai ekzos, badan serta komponen motosikal.

Selain tiada brek dan cermin sisi serta menggunakan tayar tidak mengikut spesifikasi.

Ada juga motosikal yang disita kerana kesalahan tidak memiliki cukai jalan dan insurans.

PDRM dan JPJ masing-masing telah mengeluarkan 292 dan 311 notis kompaun kesalahan trafik kepada individu terlibat.

Ke semua motosikal yang disita dibawa ke Depoh Sitaan JPJ di Kuala Terengganu.

Himpunan RXZ di Gong Badak merekodkan hampir 40 ribu peserta seluruh negara.

Loading...
Terkini