Tumpuan :
Nasional

Polis tumpaskan ‘Geng Ehsan’ curi kabel TM, buah sawit

Foto hiasan

LARUT: Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Ehsan’ yang disyaki bergiat aktif mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) dan kelapa sawit di sekitar Selama di sini sejak awal tahun ini susulan empat tangkapan terhadap ahli kumpulan itu pada 25 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Selama Superintendan Sarudin Samah berkata kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 38 tahun dan mempunyai rekod lampau berhubung kejadian kecurian serta penyalahgunaan dadah.

“Modus operandi mereka adalah menyasarkan tiang kabel Telekom Malaysia (TM) yang terletak di laluan gelap serta berhampiran kebun sawit di daerah ini.

“Selain mencuri kabel mereka juga melakukan kegiatan mencuri buah sawit yang jauh dan terlindung daripada laluan utama serta bergerak menggunakan motosikal berserta kereta ‘wandi’ bagi mengangkut barang curian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Selama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini hari ini.

Sarudin berkata melalui tangkapan itu polis juga merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan tersebut termasuk wayar tembaga, sebuah motosikal jenis Lagenda dan kereta wandi yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM8,000.

Beliau berkata hasil saringan ujian air kencing turut mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis methaphethamine.

“Dengan penangkapan ini juga kita berjaya menyelesaikan lima kes kecurian membabitkan kabel dan kelapa sawit di daerah ini. Kes melibatkan keempat-empat suspek juga telah dituduh di Mahkamah Taiping, 7 Nov lepas.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai bukti berhubung kegiatan tidak bermoral itu khususnya yang berlaku di sekitar daerah ini.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini