comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis tumpaskan sindiket tawar kerja sambilan di YouTube ”Like & Share’

KUCHING: Polis Sarawak menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian dengan penahanan lima suspek warga tempatan, Isnin lalu.

Kesemua suspek termasuk seorang wanita yang berusia lingkungan 20-an dicekup ketika serbuan berasingan di dua unit kondominium sekitar Kuching jam 8 malam.

Timbalan Persuruhjaya Polis Negeri Datuk Mancha Ata berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit beroperasi sebagai pusat panggilan dengan menjalankan kegiatan pengawalan akaun bank mangsa penipuan tawaran kerja tidak wujud itu.

“Suspek terbabit juga turut bertindak melakukan pindahan wang dari akaun bank mangsa ke satu lagi akuan bank yang ditetapkan oleh sindiket menerusi satu kumpulan dalam aplikasi Telegram melibatkan kerugian yang dianggarkan berjumlah RM1.8 juta.

“Sasaran sindiket ini adalah mangsa tempatan dan asing dari Indonesia serta dipercayai mula aktif sejak Jun lalu,” katanya ketika sidang media di IPK Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan polis  turut merampas 45 keping kad ATM daripada pelbagai akaun bank, tiga buah kenderaan, komputer riba serta 21 telefon bimbit pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai lebih RM130,000.

Kesemua suspek kini direman empat hari sehingga 12 Ogos depan bagi membantu siasatan kes terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 12B Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini