KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu laporan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) bagi melengkapkan kertas siasatan kemalangan membabitkan kenderaan orang awam dengan kenderaan anggota polis yang dipercayai sedang mengiring orang kenamaan (VIP) di Kilometer 259 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) pada Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan menunggu laporan daripada Puspakom.
“Semua mereka yang terbabit dalam kemalangan itu sudah dipanggil bagi merakam percakapan.
“Sebaik kertas siasatan dilengkapkan kita akan menghantar ke timbalan pendakwa raya (TPR) untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Media sebelum ini melaporkan PDRM menyiasat kemalangan berkenaan.
Yusri dilaporkan berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku pada 16 November di KM 259 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan.
Sebelum ini, tular di Tiktok sebuah video berdurasi satu minit empat saat yang memaparkan sebuah kenderaan petugas PDRM sedang mengiringi VIP merempuh Proton Saga.
Dalam rakaman itu, memaparkan kereta pengiring berkenaan disyaki memandu laju sewaktu hujan sebelum melanggar bahagian belakang Proton Saga berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.