comscore
Tumpuan :
Nasional

Polisi tol percuma diteruskan, termasuk Aidilfitri tahun ini – Menteri

Plaza Tol Sungai Besi adalah antara laluan masuk dan keluar tol paling sibuk di Malaysia. Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan polisi pemberian tol percuma sepanjang 2024 untuk semua perayaan utama negara, termasuk Aidilfitri yang akan disambut bulan depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bagi mengimbangi perbelanjaan perlu ditanggung kerajaan, pengecualian tol hanya diberi kepada kenderaan persendirian iaitu kenderaan kelas satu dan dilaksanakan bermula tahun ini.

Untuk kenderaan kelas lain seperti kenderaan komersil, tiada sebarang pengecualian tol.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Foto FB Alexandar Nanta Linggi.

Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Alexander berkata pemberian pengecualian tol bagi tahun lalu membabitkan 53.91 juta transaksi tol dengan anggaran pampasan yang perlu ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM206.19 juta.

Daripada jumlah itu katanya, pampasan sebanyak RM41.21 juta diberi sempena Tahun Baharu Cina, sementara Hari Raya Aidilfitri (RM80.07 juta); Deepavali (RM42.31 juta) serta RM42.60 juta sempena Krismas.

“Pengecualian tol sempena musim perayaan ini bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan dalam meraikan hari perayaan masing-masing bersama keluarga tercinta di kampung halaman,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini