Tumpuan :
Nasional

Politikkan isu banjir di Melaka, pembangkang dibidas

Kanan Melaka, Datuk Rais Yasin diiringi ADUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong; ADUN Pantai Kundor, Tuminah Kadi dan Setiausaha Agung MAPIM, Muhammad Faris Hussain menyampaikan kit bantuan kepada penerima sempena Program Jelajah Peduli Ummah peringkat DUN Paya Rumput, di Tanjung Minyak, Paya Rumput, hari ini. – FOTO: NSTP

MELAKA: Ketua Pembangkang, Dr Mohd Yadzil Yaakub dibidas kerajaan negeri selepas sengaja mempolitikkan isu berkaitan banjir seperti berlaku di beberapa kawasan di negeri ini sejak kelmarin.

EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kenyataan berkenaan bukan sahaja dangkal dan tidak berfakta, malah sebagai dakwaan melulu yang berniat jahat terhadap kerajaan negeri.

Katanya, apa yang dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban itu adalah hasil kajian akal yang tidak berasas tanpa merujuk kepada fakta sebenar.

“Sebenarnya kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Pusat sedang dan sudah melaksanakan pelbagai langkah komprehensif untuk mengatasi masalah banjir kilat termasuk pembinaan tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang membabitkan peruntukan lebih RM1 bilion.

“Malah, dalam setiap Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), saya berulang kali menjawab soalan berkaitan isu banjir, termasuk perbelanjaan kerajaan negeri dan pusat bagi pengurusan hala tuju banjir di Melaka melalui pelaksanaan projek jangka panjang.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah RM10 juta setahun kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan kerja membaiki hakisan, menyelenggara longkang serta memperbaiki sistem perparitan di bawah tanggungjawab jabatan itu,” katanya.

Rais ditemui selepas menutup Program Jelajah Peduli Ummah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di Tanjung Minyak di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mohd Yadzil yang mendakwa bahawa kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku di Melaka menunjukkan kelemahan dalam pengurusan bencana negeri.

Kejadian termasuk di Jasin dan Melaka Tengah didakwa memberi kesan negatif kepada sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Sehubungan itu, Rais meminta Dr Mohd Yadzil memberi pandangan berdasarkan kepada fakta, bukannya `auta’ (menipu).

Mengulas lanjut, Rais berkata semua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka juga turut memperuntukkan jutaan ringgit setiap tahun bagi menyelesaikan isu banjir, khususnya di kawasan taman perumahan dengan melaksanakan kerja penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini