LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merekodkan kejayaan cemerlang menumpaskan 7,103 kes membabitkan nilai rampasan RM210 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kejayaan itu membabitkan rampasan dadah, rokok dan minuman keras, penyeludupan petrol dan diesel, serta hidupan liar darat dan laut.
“Bagi pihak pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kita masih mempertahankan bahawa Pasukan Polis Marin ini perlu berada di dalam PDRM, walaupun mungkin sebelum ini akan diletakkan di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun PPM ke-77 di Markas Operasi PPM Wilayah 4 Lahad Datu di sini, hari ini.
Razarudin berkata penganjuran sambutan ulang tahun tersebut di Sabah, menunjukkan PDRM sentiasa cakna ke atas negeri itu terutama kawasan Pantai Timurnya, berikutan banyak isu kemasukan pendatang.
Razarudin berkata PDRM berjaya mengurangkan kes penculikan di Sabah dan bermula 2020 hingga kini, tiada lagi kes penculikan serta penculikan untuk tebusan (KFR) berlaku di negeri itu.
“Kita harap perkara ini terus dipantau dan diambil tindakan oleh PPM dan juga setiap agensi yang berada di sini di bawah Eastern Sabah Security Command (ESSCOM),” katanya.
Terdahulu, Razarudin dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sabah atas sokongan berterusan terhadap PPM, dalam memastikan keselamatan perairan khususnya di Pantai Timur negeri itu sentiasa terpelihara.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.