comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Prebet didenda RM2,400, ceroboh rumah Panglima 3DIV Kem Terendak

Prebet Muhammad Fikri Shaiff didenda RM2,400 selepas mengaku menceroboh rumah Panglima 3DIV Kem Terendak dan menyamar staf sarjan, tahun lalu. FOTO: NSTP

AYER KEROH: Seorang prebet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didenda RM2,400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menceroboh rumah Panglima 3 Divisyen di Kem Terendak dan menyamar sebagai Staf Sarjan, tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fikri Shaiff, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan dua bulan 10 hari jika ingkar membayar denda berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu dituduh melakukan perncerobohan jenayah dengan memasuki kawasan larangan rumah Panglima 3 Divisyen seperti termaktub di bawah Perintah Tetap Markas Garisan Terendak.

Kesalahan itu dilakukan di Pos Seri Setia Kem Terendak pada 14 November 2023, jam 6.09 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh dipenjara maksimum enam bulan atau didenda maksimum RM3,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, pada tarikh masa dan di tempat sama, tertuduh didapati memakai uniform lengkap Angkatan Tentera berpangkat Staf Sarjan yang digunakan oleh anggota berpangkat Staf Sarjan sahaja dengan niat bahawa ia mungkin dipercayai yang tertuduh tergolong dalam jawatan itu.

Oleh itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 171 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM400 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu Pegawai Kem Komandan 3 Divisyen (3DIV) Kem Terendak menerima aduan daripada anggota bertugas di Pos Seri Setia kem itu mengenai tindakan suspek (tertuduh) menceroboh pekarangan rumah Rumah Panglima 3DIV.

Tertuduh kemudiannya diserahkan kepada pihak polis yang turut merampas uniform lengkap staf sarjan dalam milikannya.

Siasatan mendapati tertuduh sebelum ini berpangkat staf sarjan, namun dilucutkan jawatan itu atas masalah disiplin dan menjadi prebet.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan kerana dia kini tidak bekerja dan dalam proses diberhentikan daripada perkhidmatan ATM.

“Saya juga menjaga seorang ibu yang uzur dan kini dalam proses diberhentikan kerja serta terpaksa turun naik ke MINDEF (Kementerian Pertahanan) bagi dokumentasi. Apabila selesai kelak dan mendapat kad pengenalan awam, saya akan mencari pekerjaan lain,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin bagaimanapun menghujahkan supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan RM400 bagi pertuduhan pertama dan kedua, masing-masing serta penjara sebulan dan 10 hari jika gagal bayar.

Loading...
Terkini