comscore
Tumpuan :
Nasional

Premis hiburan diserbu polis, 46 ditahan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis menyerbu premis hiburan di Plaza Puchong, Cheras yang menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja sah, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, serbuan dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 12.10 tengah malam.

“Pemeriksaan dijalankan kemudiannya menahan seorang lelaki warga tempatan, enam lelaki dan 39 wanita warga asing.

“Tangkapan dijalankan atas kesalahan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah, bekerja tanpa permit kerja yang sah serta melanggar syarat pas lawatan sosial,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, serbuan turut merampas empat keping kertas disyaki jadual kerja.

“Semua suspek yang ditahan berusia 19 hingga 51 tahun. Kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Ravindar berkata, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang, boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini