comscore
Tumpuan :
Nasional

Premis judi berselindung di sebalik kedai aksesori telefon

Sebahagian penduduk membuat laporan polis bagi menggesa tindakan diambil terhadap lebih 40 premis judi dalam talian didakwa beroperasi secara aktif di beberapadaerah di Kelantan dengan berselindung di sebalik kedai aksesori telefon selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di Pengkalan Chepa. – Foto NSTP

KOTA BHARU: Sekumpulan penduduk mendakwa lebih 40 premis judi dalam talian beroperasi secara aktif di beberapa daerah di Kelantan dengan berselindung di sebalik kedai aksesori telefon.

Aktiviti itu dikesan di beberapa daerah termasuk Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu yang didakwa beroperasi sejak lima tahun lalu.

Wakil penduduk, Noor Hafsham Halim, 36, dari Kampung Padang Tembak, di sini berkata, dia dan rakan-rakannya turut mempunyai bukti rakaman video dan gambar berhubung aktiviti berkenaan.

“Hari ini (semalam) kami tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berhubung premis judi dalam talian yang semakin banyak di Kelantan.

“Kita mendapati kebanyakan premis ini berselindung di sebalik kedai aksesori telefon dan tujuan laporan polis dibuat supaya tindakan tegas diambil terhadap premis berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Katanya, pihaknya turut menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung senarai premis yang dipercayai terbabit dengan aktiviti terlarang itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan menjalankan risikan terhadap dakwaan berkenaan.

Katanya, kegiatan judi dalam talian di Kelantan lebih tinggi berbanding judi lain yang mana 83 kes direkodkan dari Januari sehingga semalam dengan 48 kes sudah dituduh di mahkamah.

“Kegiatan judi dalam talian disiasat mengikut Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953/4B(a),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini