HOME / Nasional

Premis Kotor, Dua Kilang Memproses Makanan Diarah Tutup

Dua buah kilang, iaitu kilang memproses tauhu dan kilang belacan, di Pulau Pinang, diarah tutup selama dua minggu berikutan keadaan premis yang kotor dan menjijikkan, termasuklah terdapatnya najis tikus di ruang pemprosesan makanan dan stor.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata menerusi serbuan Ops Bersih ke atas kedua-dua premis berkenaan, pihaknya mendapati tahap kebersihan kilang-kilang itu tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.

“Kedua-dua kilang yang masing-masing terletak di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dan Sungai Puyu, juga dikenakan kompaun, masing-masing tiga dan empat kompaun bernilai hampir RM12,000.

“Malah, pihak kami juga telah memberi Notis Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa hari ini sehingga 2 Nov 2021,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata antara kesalahan lain yang dilakukan adalah terdapat pekerja kilang yang tidak menerima suntikan tifoid selain tidak memakai penutup kepala, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan.

“Pekerja kilang tauhu didapati menempatkan bekas makanan yang diproses di atas lantai yang jelas tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, selain keadaan lantai premis yang licin dan boleh mendatangkan bahaya.

“Bagi kilang belacan pula, kami dapati logo halal yang digunakan pada produk adalah diragui, selain peralatan yang digunakan adalah tidak bersih, di samping terdapat binatang peliharaan seperti anjing berada dalam premis berkenaan yang sememangnya tidak mematuhi prosedur ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata kilang-kilang itu turut dikenakan penguatkuasaan di bawah Undang-undang Kecil 25(1)(C) Akta Makanan 1983.

Operasi tersebut disertai 15 anggota jabatan tersebut dan 12 penguat kuasa Bahagian Perlesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).– BERNAMA