Oleh: Selwam Arjunan
SEBERANG JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah premis tidak berlesen yang digunakan untuk menyimpan barang kawalan subsidi, di sini, pagi tadi.
Pengarahnya, Jegan Subramaniam berkata pihaknya juga merampas barang kawalan termasuk minyak masak, gula dan tepung gandum dalam serbuan itu.
Katanya, serbuan dilakukan kira-kira jam 10 pagi di sebuah premis kediaman yang terletak berhampiran dengan kedai runcit berlesen.
“Hasil siasatan mendapati premis telah menyimpan barang kawalan bersubsidi di tempat yang tidak dilesenkan.
“Premis disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Sebanyak 986 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi polibeg 1kg pelbagai jenama, 84 kg minyak botol pelbagai jenama, 372 kilogram gula pasir kasar 1kg pelbagai jenama dan 141.2 kg tepung gandum pelbagai jenama disita untuk tindakan selanjutnya.
“Tindakan penyitaan juga dilakukan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 4,849.00,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ujarnya, pemilik kedai runcit terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung rampasan berkenaan.
Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan seseorang selain dari badan korporat boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi 3 tahun penjara atau kedua-
duanya.
Manakala bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.
“KPDN Pulau Pinang sedang giat melakukan pemantauan dan rondaan sekitar Pulau Pinang bagi mengekang ketirisan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.
“KPDN Pulau Pinang akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga,” tambahnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.