KUALA LUMPUR: Kegiatan sebuah pusat karaoke (KTV) ekslusif menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Korea Selatan terbongkar dalam serbuan Ops Gegar di sebuah di Solaris di sini, awal pagi hari ini.
Harian Metro yang mengikuti operasi mendapati premis di tingkat 2 itu dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) bermula dari pintu masuk bahagian bawah dan sepanjang tangga.
Difahamkan, setiap pengunjung dikenakan bayaran bermula RM300 hingga RM500 bagi mendapatkan perkhidmatan layanan daripada wanita Korea Selatan.
Rata-rata pelanggan yang ditemui pada operasi itu mengaku datang ke premis itu hanya untuk berhibur sambil menikmati minuman beralkohol yang sinonim dengan Korea Selatan iaitu soju.
Tinjauan di beberapa premis bersebelahan pusat KTV terbabit mendapati ia dipenuhi restoran dan premis-premis dengan papan tanda berbahasa Korea.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, premis berkenaan dipercayai mensasarkan pelanggan dalam kalangan warga Korea Selatan.
“Seramai 11 warga Korea Selatan terdiri daripada enam lelaki dan lima wanita ditahan dalam operasi malam ini termasuk seorang wanita ditahan disyaki pengurus premis.
“Mereka dipercayai menerima pelanggan dalam kalangan warga Korea secara tempahan dalam talian mahupun yang datang secara terus,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi operasi di sini, hari ini.
Serbuan bermula kira-kira 12.30 tengah malam itu membabitkan 11 pegawai dan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur susulan risikan kira-kira dua minggu.
Ketika serbuan, penjaga premis terbabit enggan memberi kerjasama memaksa pasukan serbuan mengambil masa beberapa minit bagi memecahkan pintu yang dilengkapi tiga jenis kunci.
Sementara itu salah seorang lelaki dianggarkan berusia 30-an dipercayai pengunjung mendakwa dirinya bersama seorang rakan diarahkan oleh penjaga premis untuk menyorok di dalam stor semasa serbuan.
Lelaki itu mendakwa cuba mempersoalkan arahan berkenaan, namun dalam suasana panik dan di samping kelemahannya bertutur Bahasa Inggeris, mereka akhirnya menurut sahaja arahan diberikan lalu menyorok sebelum ditemui oleh pasukan serbuan.
Kesemua warga asing ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.