comscore
Tumpuan :
Nasional

Premis tular sorok minyak masak rupanya tiada lesen sah jual barang kawalan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis di Bandar Tropicana Aman, Telok Panglima Garang, Selangor susulan penularan video mendakwa peniaga premis berkenaan menyorok bekalan minyak masak paket 1 kilogram (kg).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil pemeriksaan awal dalam serbuan Isnin lalu mendapati, premis tersebut tidak mempunyai lesen runcit barang kawalan berjadual yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

Menurutnya, barang kawalan adalah seperti gula, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG).

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah 84kg minyak masak bersubsidi paket 1kg, tujuh botol minyak masak botol 2kg, lapan tong LPG 14kg dan 24kg gula putih bertapis kasar, selain beberapa dokumen perniagaan lain seperti invois jualan dan belian barang-barang kawalan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pasukan serbuan terdiri daripada anggota penguat kuasa KPDN Negeri Selangor telah bertindak menyita kesemua barangan dan dokumen berkenaan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM630.90.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut sedang dilakukan di bawah Akta 122 bagi mengenal pasti pembekal barang kawalan premis berkenaan serta rantaian pengedarannya.

Sebelum ini tular di media sosial berkaitan seorang peniaga yang didakwa menyorok bekalan minyak masak paket 1kg dan hanya dijual kepada pelanggan tertentu.

Sehubungan itu, Azman memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurus niaga dengan barang kawalan berjadual agar sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa.

Ini termasuk mendapatkan lesen borong atau runcit barang kawalan berjadual yang sah di bawah Akta 122 serta tidak menyimpan atau menyorok bekalan barangan terbabit.

Mengulas lanjut, Azman berkata, tindakan segera ke atas premis tersebut adalah hasil daripada inisiatif KITA GEMPUR (Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan) yang mula digerakkan di seluruh negara bermula 19 Oktober lalu.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah pelaksanaan Ops TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 23 Oktober 2024 bagi komoditi minyak masak, sebanyak 386 kes telah dihasilkan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 512,109kg minyak masak bernilai RM2.79 juta telah berjaya dirampas,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini