comscore
Tumpuan :
Nasional

Prestasi industri sawit negara dijangka memberangsangkan di sebalik tekanan EU

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching (kiri) beramah mesra dengan sebahagian penerima anugerah selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2022 di Ibu Pejabat MPOB, Bangi. – FOTO: NSTP

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

BANGI: Di sebalik tekanan Kesatuan Eropah (EU) yang menyekat dan mengadakan kempen anti minyak sawit Malaysia, namun industri sawit negara pada tahun ini dijangka meneruskan prestasi memberangsangkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ia disokong permintaan kukuh daripada negara pengimport, selain pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.

“Eksport minyak sawit dijangka meningkat 3.7 peratus kepada 16.30 juta tan pada 2023 daripada 15.72 juta tan pada tahun lepas. Ini berikutan permintaan minyak sawit yang berterusan daripada negara-negara pengimport seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Jepun, Bangladesh dan Mesir,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tahun 2022 di Ibu Pejabat MPOB di sini hari ini.

Beliau berkata, peningkatan kawasan tanaman sawit matang terutama di Semenanjung dan Sarawak serta keadaan cuaca yang baik adalah faktor yang mendorong kepada peningkatan pengeluaran MSM pada tahun ini.

Bagi terus mendorong perkembangan positif tersebut, Fadillah berkata, pihak kementerian akan memastikan proses kemasukan pekerja asing berjalan lancar dalam usaha menangani masalah kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan.

“Industri sawit yang menjadi antara sumber utama pendapatan negara dijangka terus memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi Malaysia. Dalam hal ini, saya menyeru kepada semua pihak untuk terus bersikap positif dan pro-aktif dalam memacu kemajuan industri sawit yang merupakan sektor agrikomoditi utama negara.

“Ini kerana kita perlu sedar, bahawa keterlibatan kita dalam industri ini, bukan sekadar melaksanakan tugas harian, tetapi lebih dari itu, kita berperanan dan memberikan sumbangan besar kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Fadillah menzahirkan rasa bangga di atas pengiktirafan Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biak-baka (ABBC) di bawah MPOB yang dipilih sebagai penerima Anugerah Sains Mahathir 2022 iaitu anugerah Malaysia bertaraf global.

ABBC memenangi anugerah kategori Sumber Asli Tropika sebagai pengiktirafan terhadap program penyelidikan berpandangan jauh dalam membangunkan germplasma sawit yang menjadi sumber penting dalam memacu nilai sosioekonomi industri sawit di peringkat nasional serta global.

“Saya dimaklumkan ABBC merupakan penerima ketiga dari Malaysia bagi Anugerah Sains Mahathir dalam sejarah 17 tahunnya. Tahniah saya ucapkan kepada MPOB,” katanya.

Loading...
Terkini