comscore
Tumpuan :
Nasional

Prestasi penjawat awam akan terus dipantau – PM 

Foto hiasan

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

PETALING JAYA: Kerajaan akan terus memantau prestasi penjawat awam dalam memastikan tahap kecekapan mereka dalam keadaan optimum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun ada perubahan yang dapat dilihat namun masih terdapat kelompongan membabitkan mutu perkhidmatan penjawat awam.

“Kita akan pastikan kelemahan-kelemahan dalam pentadbiran dan saya sendiri pantau (prestasi penjawat awam).

“Saya ada tanya beberapa pihak, berapa orang kena jumpa? berapa lama kena tunggu… jumpa pegawai kerajaan bertanya tentang perubahan.. berapa jabatan kena jumpa sebelum dapat lesen? Bila kita dengar (jawapan) ia masih belum memuaskan (prestasi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-78, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM), hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar juga menekan isu rasuah yang masih dilihat menjadi barah dalam perkhidmatan awam.

Ujarnya, tiada lagi alasan mengenai soal gaji berikutan kerajaan telah memberikan peningkatan gaji berdasarkan kemampuan negara ketika ini.

“Walaupun ada perubahan (prestasi) masih ada kebocoran sebab itu kita lihat SPRM hampir setiap hari lakukan tangkapan kerana amalan itu masih ada.

“Bila rasuah itu berlaku kos terhadap perniagaan akan meningkat. Apabila saya sebut tentang tatakelola itu bukanlah perkara remeh kerana kita nak pastikan negara ini maju,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada mana-mana penjawat awam yang masih meneruskan amalan dan sikap di tampuk lama.

“Kalau dulu mereka bimbang soal gaji rendah, RM1,800 bagaimana nak hidup.. jadi kita dah naikkan (gaji) pada kadar maksimum yang kerajaan mampu ketika ini.

“Saya nak pastikan mereka dibayar seadilnya tetapi jika saya dapati anda masih teruskan amalan di tampuk lama, teruskan korup maka kita akan ambil tindakan tegas dan tidak akan maafkan,” tegasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini