comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Mahkota: 1,742 sudah mengundi awal setakat 10 pagi

Seorang anggota tentera yang sedang melakukan undi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Johor. FOTO: NSTP

KLUANG: Hampir 1,742 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, sehingga jam 10 pagi hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah itu agak tinggi berbanding waktu sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.

“Alhamdulillah sehingga 10 pagi ini jumlah pengundi yang keluar adalah 35.47 peratus dan ini adalah peratusan agak tinggi kalau berbanding PRU lalu.

“Bagi tempoh sama pada PRU lalu peratusannya adalah 18.6 peratus sahaja dan berdasarkan kepada trend ini insya-Allah dengan cuaca yang baik ini kita berharap kita boleh mencapai lebih 90 peratus pengundi awal yang keluar mengundi kali ini,” katanya selepas melawat Pusat Pengundian Awal di Dewan Mahkota, Kem Mahkota, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan peratusan keluar mengundi pada hari pengundian mencecah 70 peratus pada 28 September ini seperti pada PRK DUN Nenggiri.

Sementara itu, seramai 4,510 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan pasangan berdaftar dengan SPR untuk PRK kali ini.

Daripada jumlah itu, seramai 3,865 pengundi awal berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka di lapan saluran di Dewan Mahkota, Kem Mahkota.

Sementara bakinya, 645 pengundi awal dari Kem Batu 3 mengundi di dua saluran di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim di sini.

Seramai 401 warga polis termasuk pasangan menunaikan kewajipan mereka membuat pengundian awal di Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

Semua pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi dan ditutup pada 5 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini