JOHOR BAHRU: Kesemua kaunter di dua pintu masuk negara di Tambak Johor dan Linkedua dibuka sepenuhnya bagi memudahkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang bekerja atau tinggal di Singapura pulang mengundi pada Sabtu ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri komited memastikan urusan pengundi yang hendak pulang dipermudah di pintu masuk negara.
“Saya sudah berhubung dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk pastikan kaunter di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, beroperasi pada tahap maksimum bermula pada Jumaat ini.
“Ia bagi melancarkan pergerakan perjalanan pulang pengundi ke Mahkota mulai Jumaat dan Sabtu. Ini penting bagi memudahkan pengundi DUN Mahkota pulang menjalankan tanggungjawab mereka.
“Saya merayu kepada ribuan pengundi yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi,” katanya.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.
DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi akan dibuka pada Sabtu ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.