Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan kelonggaran kepada mahasiswa baharu yang mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor untuk mendaftar lewat ke universiti awam (UA) masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, mereka boleh mendaftar sehingga 29 September ini sebagai langkah menghormati hak mengundi seperti yang tertakluk di dalam perlembagaan.
“Ketetapan dibuat hasil perbincangan KPT bersama 12 UA sebagai usaha memberi kemudahan untuk mahasiswa baharu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi untuk memilih wakil rakyat di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, pelajar baharu yang terlibat boleh berhubung terus dengan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UA masing-masing dan memaklumkan mengenai status mereka sebagai pengundi di kawasan tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini dengan pengundian awal pada 24 September ini.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.
Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan DUN Mahkota mempunyai 66,318 pengundi terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera dan pasangan, 401 polis dan 10 PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.