comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Sungai Bakap: Polis sediakan talian khas pastikan keselamatan terjamin

Foto: NSTP

GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin bermula daripada tempoh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap hari ini sehingga keputusannya diumumkan 6 Julai depan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, penugasan skop besar sudah disusun dan diatur dalam memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang pilihan raya terbabit.

“PDRM sudah membahagikan penugasan kepada dua skop besar iaitu membabitkan permohonan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kedua ialah memastikan keselamatan masyarakat di Sungai Bakap sentiasa terjamin.

“Pada hari penamaan calon (hari ini) seramai 800 anggota polis diatur gerak bagi penugasan semasa PRK Sungai Bakap termasuk membabitkan sebanyak 12 pasukan Cantas/Pemantau demi memastikan kelancarannya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Datuk Hamzah berkata, pihaknya juga sudah bertemu dengan wakil parti politik yang bertanding dan menyampaikan berkenaan isu keselamatan serta kawalan lalu lintas termasuk lokasi penutupan jalan.

Katanya, pihak polis juga memohon kerjasama serta mengingatkan orang awam supaya patuh terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa semasa tempoh berkempen sehingga tamat pilihanraya.

“Ia adalah bagi memastikan supaya tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

“Semua parti politik yang terbabit dalam pilihanraya ini dinasihati supaya mematuhi segala peraturan serta keselamatan dan lalulintas dari masa ke semasa bagi kelancaran proses PRK,” katanya lagi.

Menurut Datuk Hamzah, bagi maklumat terkini PRK Sungai Bakap, orang awam dinasihati melakukan semakan daftar pemilih, calon dan keputusan PRK menerusi MySPR Semak.

Katanya, PDRM juga menyediakan talian khas bagi pertanyaan sepanjang perjalanan pilihanraya iaitu Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Pulau Pinang (04-2643122) dan Pusat Kawalan Daerah Seberang Perai Selatan (DCC) (04-5820184).

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini