Tumpuan :
Nasional

PRK JOHOR: Polis luluskan 25 permit ceramah, kempen 

Bendera Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional di Kampung Sungai Perling, Taman Perling, warnai PRK Parlimen Pulai. – Foto : NSTP

JOHOR BAHRU : Sebanyak 25 permit ceramah dan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri ini diluluskan polis, semalam.

Jurucakap Media PRK Johor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som juga berkata, sehingga kini tiada kertas siasatan dibuka.

Katanya, daripada 25 permit yang diluluskan, 20 adalah di kawasan Parlimen Pulai, manakala lima lagi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

“Bagi kawasan Parlimen Pulai, sebanyak dua permit ceramah dan 18 permit kempen diluluskan, manakala, bagi kawasan DUN Simpang Jeram, sebanyak dua permit ceramah dan tiga permit kempen sudah diluluskan,” jelasnya.

“Kami juga menasihatkan supaya setiap calon pilihan raya yang ingin mengadakan kempen mengikuti peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan tidak menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja dan kekalkan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, sekiranya mempunyai sebarang permasalahan yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Loading...
Terkini