comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KKB: Majikan diingat beri tempoh munasabah pekerja mengundi esok

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Majikan diingatkan untuk membenarkan tempoh munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata, ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR telah menjalankan proses semakan peralatan mengundi seperti peti undi, kertas undi, petak undi, dakwat pilihan raya dan sebagainya bagi kegunaan hari mengundi pada 11 Mei 2024 (Sabtu).

“Proses semakan ini untuk memastikan kesemua peralatan atau kelengkapan bagi hari mengundi lengkap dan dalam keadaan baik. Kesemua peralatan ini diagihkan kepada ketua-ketua tempat mengundi (KTM) bagi setiap tempat mengundi (saluran),” katanya.

Seramai 760 petugas akan bertugas bagi proses pengundian membabitkan 18 pusat mengundi dan 74 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian seramai 39,269 pemilih yang bakal mengundi di PRK tersebut.

Mengulas lanjut, Ikmalrudin menasihatkan pengundi untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.

Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada kerani pengundian pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian.

“Semakan awal maklumat pengundian seperti maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dibuat melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Ikmalrudin berkata, SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 minit malam ini.

Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, aplikasi X, Instagram, Tik-Tok dan lain-lain.

“Semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Jelasnya, penggunaan telefon bimbit oleh pengundi di saluran adalah tidak dibenarkan.

Notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam saluran sebagai peringatan.

SPR turut menetapkan pengundi yang membawa telefon bimbit ke saluran perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing.

“Semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi pada hari mengundi dilarang memakai baju, topi atau pelitup separuh muka (facemask) atau membawa material (bahan) yang mempunyai nama, lambang, simbol atau gambar parti atau calon yang bertanding.

“(Mereka juga dilarang membawa) apa-apa bahan kempen serta sebarang ‘tagline’ atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang dari memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya,” katanya.

Justeru, beliau berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.

Tegasnya, sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao; calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut; Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK KKB diadakan susulan kematian penyandang daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini