comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KKB: Penduduk harap bakal ADUN cakna kebajikan, kesejahteraan rakyat

Foto: NSTP

HULU SELANGOR: Masyarakat berharap calon yang dipilih mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini dapat menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain berkata, pilihan raya ini adalah peluang keemasan untuk calon melihat sendiri masalah dialami penduduk, khususnya pemandu teksi di kawasan itu.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain.- Foto: NSTP

“Semoga calon yang menang nanti cakna dan prihatin dengan kami yang merupakan golongan kaki lima,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Pengusaha resort, Johanna Yap.- Foto: NSTP

Kamarudin berkata, semua parti juga diminta supaya tidak rasis dan retorik dengan keagamaan sepanjang 14 hari berkempen.

Sementara itu, seorang pengusaha resort, Johanna Yap, 70, berkata, dia berharap calon yang menang akan meneruskan legasi bekas wakil rakyat sebelumnya iaitu mendiang Lee Kee Hiong.

“Semoga bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu nanti akan membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan ini.

“Jadi, apabila ekonomi di sini meningkat maka penduduk tidak perlu berhijrah ke bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Georgetown untuk mencari pekerjaan,” katanya.

PRK DUN KKB menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH mempertaruhkan bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan, dicabar pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.

Sementara PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas.

PRK diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan hari ini sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini