comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KKB: Polis jamin keselamatan penduduk dan pengundi – Saifuddin

Oleh: Fahmi Tajuddin

HULU SELANGOR: Penduduk dan pengundi sekitar Kuala Kubu Bharu, diberi jaminan keselamatan sepanjang tempoh berkempen sehingga hari mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 11 Mei nanti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persiapan rapi sudah dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejurus kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diumumkan.

“Saya sudah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain baru-baru ini mengenai tahap keselamatan (Kuala Kubu Bharu).

“Sehingga hari ini perjalanan kempen berjalan lancar tanpa berlaku insiden yang tidak diingini dan orang ramai tidak perlu risau untuk keluar mengundi nanti,”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu pada Jumaat.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kasim; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Sebagai rekod, PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini