comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KKB: Polis terima 12 laporan pelbagai kesalahan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

HULU SELANGOR: Polis menerima 12 laporan membabitkan aduan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata ia turut membabitkan dua kes berkaitan salah guna gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setakat ini, katanya, dua tangkapan sudah dibuat dengan salah seorang pelaku kes terbabit sudahpun dihadapkan ke mahkamah, baru-baru ini.

“Lain isu yang kita nampak di sini, memang pengundi atau parti politik yang memberi ceramah tidak ada (menyentuh) isu senstif, selain keadaan di sini, kita lihat memang sangat aman dan tenteram.

“Aspek keselamatan pula, memang kita sudah maklumkan, ini bukan PRK, Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum yang julung kali diadakan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media di IPD Kuala Kubu Bharu sempena PRK Kuala Kubu Bharu.

“Kebanyakan pegawai dan anggota sudah berpengalaman menyelaraskan keselamatan dan ketenteraman, terutama bagi pengundi serta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau diiringi Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, sebelum dijadual meninjau beberapa pusat mengundi berhampiran.

Sementara itu, Razarudin mengesahkan, tidak menerima sebarang laporan berkaitan bahan kempen yang menyentuh isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang tempoh berkenaan.

“Tiada (sebarang aduan diterima mengenai ceramah) yang menyentuh isu 3R mahupun isu sensitif lain. Isu yang sering dimainkan adalah berkaitan pembangunan dan beberapa lagi.

“Kita berpuas hati dengan perjalanan kempen kali ini, selain hampir 200 permit dikeluarkan dan tiada pihak yang dikenal pasti melanggar permit berkenaan,” katanya.

Mengulas perjalanan PRK DUN Kuala Kubu Bharu, beliau berkata, seramai 1,139 keanggotaan digerakkan sepanjang tempoh berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini