comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KKB: Semua pusat mengundi ditutup, proses penjumlahan undi bermula  – SPR

KUALA KUBU BHARU: Pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Bharu (KKB) yang bermula 8 pagi tadi berakhir selepas 18 pusat mengundi membabitkan 74 saluran ditutup sepenuhnya 6 petang tadi.

17 pusat mengundi ditutup jam 6 petang manakala SJKC Bukit Fraser (Tapak Lama) yang hanya mempunyai 40 pengundi berdaftar di pusat mengundi berkenaan ditutup salurannya pada jam 2 petang.

Sejurus ditutup ke semua peti undi daripada 74 tempat mengundi atau saluran akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.

Keputusan rasmi PRK berkenaan dijangka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya seawal 9 malam.

Proses pengundian hari ini membabitkan 39,269 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Kesemua calon bagaimanapun tidak turun mengundi kerana pengundi luar.

Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti 4,119 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini