comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KKB: Sepasang suami isteri tempuh perjalanan 200km dari Kuala Kangsar

Abdul Rahim bersama Noraini menempuh perjalanan 200 km dari Kuala Kangsar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. – Foto: NSTP

HULU SELANGOR: Sepasang suami isteri sanggup menempuh perjalanan 200 kilometer (km) dari Kuala Kangsar bagi menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Abdul Rahim Bidin, 67, bersama isterinya, Noraini Mansor, 65, membuang undi pada jam 8.30 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khing Ming.

Abdul Rahim berkata, dia yang sebelum ini menetap di Batang Kali, berpindah ke Kuala Kangsar selepas bersara 10 tahun lalu.

“Saya bergerak sekitar jam 4 pagi semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab.

“Saya berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat melakukan pembangunan di Kuala Kubu Baharu,” kata pesara itu, di sini hari ini.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Khairul Azhari Saut (PN); Pang Sock Tao (PH); Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) itu sebelum ini dimenangi Lee Kee Hiong (PH) pada PRN yang lalu namun dikosongkan selepas mendiang meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Seorang lagi pengundi yang juga kakitangan kerajaan, Nor Adi Rusli, 40 berkata, dia tidak menyangka menjadi pengundi pertama di SJKC Khing Ming.

“Saya tak jangka saya orang pertama. Setiap kali pilihan raya, saya akan gerak awal dari rumah dan sasaran saya adalah untuk menjadi orang pertama mengundi di sini.

“Niat saya hanyalah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini