comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KKB: Warga emas sanggup ke Bukit Fraser kerana tanggungjawab & kenangan 

KUALA KUBU BHARU: Sanggup menempuh perjalanan jauh semata-semata mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu hari ini.

Semangat itu yang ditunjukkan pengundi warga emas, Chen Geok Ai, 83, dari Petaling Jaya menggagahkan diri bersama ahli keluarganya pergi ke Bukit Fraser.

Chen adalah antara 40 pengundi berdaftar yang mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser (tapak lama) yang tidak lagi beroperasi.

Katanya, sekolah terbabit merupakan tempat ahli keluarga dan anak-anaknya bersekolah selain pengalaman lebih 40 tahun tinggal di kawasan terpencil itu suatu ketika dahulu.

“Saya mesti pergi mengundi di sini, terlalu lama tinggal dan banyak kenangan kerana pernah menjadi penjawat awam lebih 30 tahun dan menjaga rumah-rumah agam milik kerajaan sebelum bersara.

“Dalam tempoh itu juga, sudah banyak pilihan raya yang saya lalui menyebabkan mahu kekal mengundi di sini. Cuma pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu tidak dapat mengundi kerana masalah kesihatan. Jadi, hari ini saya datang,” katanya ketika ditemui selepas mengundi, hari ini.

Sementara itu, anak sulungnya, Jang Sheu Doon, 61, yang menemani ibunya ke pusat pengundian berkenaan berkata beliau pernah bersekolah di SJKC Bukit Fraser dan amat memahami keengganan ibunya tukar pusat pengundian walaupun lebih 20 tahun tinggal di Petaling Jaya.

“Saya dahulu sekolah di situ dan kami pernah ada kehidupan di Bukit Fraser lebih 40 tahun, ketika itu ibu bekerja jaga beberapa buah rumah banglo termasuk Banglo Sultan Sulaiman milik kerabat diraja Selangor,” katanya.

Terdahulu, SJKC Bukit Fraser (Tapak Lama) menjadi salah satu daripada 18 pusat pengundian dibuka pada PRK Kuala Kubu Bharu dan hanya mempunyai 40 pengundi berdaftar di pusat mengundi berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini