comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Kuala Kubu Bharu: Polis terima 10 laporan 

Sekitar bandar di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. – FOTO: NSTP

KUALA KUBU BHARU: 10 laporan diterima polis sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu berlangsung.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu lima kertas siasatan dibuka dan dua tangkapan dibuat.

“Lima laporan yang dibuka kertas siasatan adalah kejadian ubah suai logo parti, meletakkan gambar Yang Dipertuan Agong, menampal poster Perdana Menteri, penafian video tular serta fitnah.

“Daripada lima kes ini, satu daripadanya sudah dituduh di mahkamah iaitu kes meletakkan gambar Yang Dipertuan Agong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi lima lagi laporan polis, beliau berkata, empat daripadanya dibuat oleh pasukan Op Cantas yang melakukan pemeriksaan sepanjang tempoh itu.

“Empat laporan itu diklasifikasikan sebagai rujuk kepada agensi lain (ROR), manakala satu lagi laporan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Hasil pemantaun dilakukan pihak polis sepanjang tempoh itu juga mendapati semua kempen dan ceramah dijalankan mempunyai permit. Ia membabitkan 107 kempen dan 78 ceramah,” katanya.

Menurutnya, seramai 1,133 pegawai dan anggota polis dari Kontijen Selangor dikerahkan bagi penugasan PRK Kuala Kubu Bharu.

“Kami menasihatkan calon bertanding dan penyokong supaya sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang sepanjang tempoh pilihan raya ini termasuk pada esok yang juga hari mengundi.

“Elakkan menyentuh isu 3R (Raja, Agama dan Bangsa) selain membuat sebarang provokasi serta perkara yang boleh mengugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan keselamatan setiap pengundi yang keluar mengundi esok.

“Semua pengundi serta pihak yang terbabit diingatkan supaya meletakkan kenderaan di tempat bersesuaian.

“Elakkan meletak kenderaan di bahu jalan atau mana-mana kawasan yang boleh menghalang kelancaran trafik,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini