comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram 9 September

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor pada 9 September ini.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Ogos, manakala pengundian awal pada 5 September.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK tersebut adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemas kini sehingga 23 Julai lalu.

“DPPR bagi PRK Parlimen P.161 Pulai mengandungi seramai 166,653 pemilih terdiri daripada 165,700 pengundi biasa, 927 polis dan 26 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

“Manakala DPPR bagi PRK DUN N.13 Simpang Jeram pula mengandungi seramai 40,379 pemilih terdiri daripada 40,373 pengundi biasa dan enam Pengundi Tidak Hadir Luar Negara,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas SPR di sini hari ini.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Ogos, sehingga 11.59 malam, 8 September.

Jelasnya, jumlah keseluruhan anggaran peruntukan bagi kedua-dua PRK terbabit adalah sebanyak RM6 juta, iaitu RM4.5 juta untuk PRK Parlimen Pulai dan RM1.5 juta bagi PRK DUN Simpang Jeram.

“Seramai 2,692 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Pulai. Sebanyak 47 pusat mengundi biasa yang mengandungi 294 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan. Keseluruhan jumlah pusat mengundi bagi PRK Parlimen Pulai adalah sebanyak 49 buah dengan 297 tempat mengundi atau saluran,” katanya.

Sementara itu, seramai 678 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Simpang Jeram dengan 14 pusat mengundi biasa mengandungi 68 tempat mengundi atau saluran akan digunakan.

Tiada pusat mengundi awal digunakan bagi PRK terbabit.

“Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram akan dibuka bermula hari ini. Tarikh tutup permohonan bagi Kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media adalah pada 22 Ogos.

“Manakala tarikh tutup permohonan Kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara pada 12 Ogos, dan Kategori 1C membabitkan agensi dan organisasi pada 15 Ogos,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, pusat penamaan calon 
(PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) bagi PRK Parlimen Pulai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, manakala bagi PRK DUN Simpang Jeram adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

SPR turut melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu lima Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses PRK Parlimen Pulai, dan seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi PRK DUN Simpang Jeram.

Tambahnya, tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) ditubuhkan bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen iaitu dua pasukan untuk PRK Parlimen Pulai dan satu pasukan untuk PRK DUN Simpang Jeram.

Pasukan berkenaan juga dianggotai wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding.

“Pada PRK ini juga, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya dalam melihat perjalanan proses PRK ini bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantìkan yang telah ditetapkan.

“Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperolehi daripada Portal SPR www.spr.gov.my mulai hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 15 Ogos 2023,” katanya.

Loading...
Terkini