JOHOR BAHRU: Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai kian terasa apabila sejumlah 927 pegawai dan anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal untuk kerusi parlimen berkenaan, pagi ini.
Dua pusat pengundian iaitu Balai Polis Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di Tampoi akan mula dibuka serentak pada 8 pagi nanti sebelum ditutup secara berperingkat iaitu pada 12 tengah hari dan 5 petang.
Bagi proses pengundian awal, sebanyak tiga saluran disediakan di dua pusat pengundian tersebut membabitkan 46 pemilih di Balai Polis Kempas, manakala 881 orang akan mengundi di Markas PPM Wilayah Dua.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
Ia bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi DUN Simpang Jeram.