
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 99 peratus pegawai dan anggota polis akan keluar mengundi pada hari mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai hari ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, peratusan itu dijangka dapat dicapai berikutan sambutan kehadiran yang dilihat setakat jam 11 pagi tadi mencecah 51 peratus.
“Proses undi awal berjalan dengan lancar dan dari segi kehadiran amat menggalakkan, kita harap untuk dua tempat dapat capai peratusan baik sekurang-kurangnya 99 peratus,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses undi awal di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua (W2) Johor, Tampoi di sini, hari ini.
Abdul Ghani berkata, pihaknya berharap mereka yang belum keluar mengundi dapat keluar sebelum pusat mengundi awal ditutup jam 5 petang nanti.
Pada masa sama, bagi kelancaran hari mengundi Sabtu ini, Abdul Ghani mengingatkan pengundi untuk keluar mengundi mengikut waktu yang dicadangkan.