comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Sungai Bakap: Jawatankuasa khas tangkis berita palsu di media sosial ditubuhkan 

NIBONG TEBAL: Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam usaha menangkis penyebaran berita palsu di media sosial menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata sudah menjadi kebiasaan pada mana-mana pilihan raya akan ada pasukan yang meneliti platform media sosial.

Beliau berkata ia adalah untuk memastikan tiada kenyataan tidak bertanggungjawab sekali gus menyekat penularan berita palsu.

“Saya lihat kebiasaannya apabila berlangsungnya PRK negeri atau Pilihan Raya Umum (PRU), memang akan ada pasukan yang meneliti kesemua platform ini.

“Penelitian dilaksanakan iaitu di peringkat kementerian dan peringkat badan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selain agensi serta jabatan lain antaranya Jabatan Penerangan.

“Justeru, satu (jawatankuasa khas) akan kita buat untuk PRK (Sungai Bakap) nanti,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Sembang Santai bersama Ketua Komuniti MADANI Parlimen Nibong Tebal di sebuah warung di Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Dalam program itu, beliau meluangkan masa bersarapan bersama komuniti setempat di samping menyampaikan beberapa pandangan kepada masyarakat khusus berkait usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan negara, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

Sementara itu, Fahmi berkata, segmen Biar Betul yang disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) antara alternatif dalam menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah dalam kalangan masyarakat.

“Menerusi segmen itu, kita boleh sebarkan kepada seluruh negara berhubung fitnah atau berita palsu yang telah dijawab.

“Disamping itu, Komuniti Madani juga perlu memainkan peranan dalam menangani penyebaran bahan-bahan bersifat fitnah dan tidak betul.

“Rakan-rakan Komuniti Madani mesti menjadi pasukan paling hadapan untuk menangkis dan mengalahkan fitnah serta tohmahan berasaskan fakta sekali gus memastikan maklumat tidak tepat dapat dikekang daripada tular,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini