comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Sungai Bakap: Penamaan calon 22 Jun, Hari Mengundi 6 Julai

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, hari penamaan calon adalah pada 22 Jun ini.

Selain itu, hari pengundian awal pula ditetapkan pada 2 Julai dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

“PRK DUN Sungai Bakap memerlukan peruntukan sebanyak RM2.1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di sini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK DUN tersebut hari ini.

Azmi berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK DUN Sungai Bakap akan dibuka bermula hari ini.

Tambahnya, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses pilihan raya manakala dua pasukan penguat kuasa ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen sepanjang PRK.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK terbabit adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan setakat April yang dikemas kini pada 24 Mei lalu. DPPR ini mengandungi seramai 39,279 pemilih,” katanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang media berkenaan, pemilih itu terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang akan digunakan adalah di Dewan Serbaguna Jawi, Jalan Serindit, Taman Desa Jawi.

Seramai 552 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Sungai Bakap, manakala sebanyak sembilan pusat mengundi biasa yang mengandungi 65 saluran serta satu pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi satu tempat saluran awal akan digunakan.

“Pada PRK ini juga, SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya dalam melihat perjalanan proses PRK ini bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan,” menurut kenyataan itu.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ini adalah PRK ke-8 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini