comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Sungai Bakap: SPR buat persiapan akhir menjelang hari pengundian esok

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan akhir bagi proses pengundian yang dijadualkan esok bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Oleh: Kumaran Rajamoney

NIBONG TEBAL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan akhir bagi memastikan proses pengundian yang dijadualkan esok bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berjalan lancar.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan, ketua tempat mengundi serta petugas keselamatan telah diberikan taklimat berkaitan bagi memastikan kelancaran proses hari pengundian.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak.

“Setiap semakan yang dilakukan hari ini adalah bagi memastikan kesemua kelengkapan mengundi mencukupi termasuklah peralatan seperti peti undi, dakwat, kertas undi dan juga peralatan-peralatan melibatkan persiapan logistik,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna Jawi.

Sembilan pusat mengundi dengan 65 tempat mengundi (saluran) akan dibuka bermula pukul 8 pagi sehingga 6 petang bagi kemudahan 39,151 orang pengundi berdaftar.

Seramai 552 orang petugas terlibat bagi menjayakan PRK Sungai Bakap.

Dalam perkembangan lain, SPR katanya tidak menerima sebarang petisyen berkaitan kesalahan sepanjang PRK DUN Sungai Bakap daripada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

“Cuma kesalahan-kesalahan yang biasa, kecil melibatkan seperti poster diletakkan di tempat tidak sepatutnya sahaja tapi tidak timbul isu yang besar.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi, penyokong parti yang mematuhi peraturan perjalanan pilihan raya kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ikmalrudin turut menasihati pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan dan cadangan masa mengundi boleh disemak di laman web mySPRsemak.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, susulan kematian penyandangnya dari PAS Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini