Tumpuan :
Nasional

PRN 2023: Op Lancar sempena PRN bermula hari ini

Foto: Arkib NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melaksanakan Op Lancar bermula hari ini hingga 13 Ogos nanti.

Timbalan Pengarah I JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar berkata, pihaknya menjangkakan pertambahan aliran kenderaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dengan hari pengundian esok.

“Dijangka sebanyak 1.9 juta kenderaan bertambah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan pertambahan 150,000 kenderaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

“Justeru itu, fokus utama JSPT adalah memastikan aliran trafik lancar serta terkawal bagi semua pengguna jalan raya yang pulang untuk mengundi dan kembali semula ke ibu kota nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nasri berkata, penugasan JSPT akan bertumpu di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Ia membabitkan lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran terutama lokasi hotspot yang berlaku kesesakan.

“Pemantauan juga termasuk susur keluar lebuh raya serta persimpangan membabitkan lampu isyarat yang akan dibuat kawalan sekiranya terkesan menyebabkan kesesakan melampau,” katanya.

Beliau berkata, 3,000 petugas JSPT membabitkan kekuatan daripada semua kontinjen termasuk bantuan sumber manusia daripadanya Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sudah diatur gerak.

“Kami berharap semua pengguna jalan raya yang pulang untuk mengundi di negeri yang dituju selamat sampai ke destinasi.

“Ingatlah supaya sentiasa bertoleransi semasa pemanduan dan mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan petugas PDRM di lapangan,” katanya.

Loading...
Terkini