
Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
SEREMBAN: Bahang pilihan raya negeri (PRN) semakin dirasai dengan ceramah dan sesi bertemu pengundi kian rancak diatur gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) dan lawan politik mereka, Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.
Pilihan raya umum (PRU) ke-15 lalu menyaksikan PH dan BN menang kesemua 8 kerusi parlimen di negeri yang terkenal dengan adat perpatih itu.
Dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan November lalu, keputusan pengundi Negeri Sembilan itu dilihat selari dengan apa yang dihasilkan di Putrajaya.
Menjelang hari pengundian PRN 2023 pada 12 Ogos, isu politik banyak diperkatakan namun keutamaan rakyat masih keperluan asas ekonomi.
“Buat macam Melaka. Kalau bandar Seremban buat macam Melaka, banyak pelancong datang saya tengok itu kalau mereka perintah lagi, buat satu pelancongan untuk Seremban, sebab Seremban tiada. Yang hanya ada Port Dickson,” kata Mohd Fahmi Bahrom, pesara.
“Kita mahukan sesuatu yang baik untuk anak-anak dan generasi muda. Itu sahaja,’ kata Priyadareshini Kumarusami, suri rumah.
Rekod kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun cukup baik dalam merelisasikan aspirasi pengundi Negeri Sembilan.
Pentadbiran beliau berjaya melaksanakan hampir kesemua janji manifesto PH pada PRU ke-14.

“Kerajaan yang ada ini sangat komited, untuk membawa perubahan mungkin agenda reformasi yang dibawa selama 4 tahun sebelum ini. Dalam konteks ini, kita harus memberi kredit juga kepada kepimpinan Aminuddin dan exco dan juga kerajaan Negeri Sembilan secara amnya dengan komitmen yang mereka beri,” ujar Dr Mohd Azmir Mohd Nizah, Penganalisis Politik USIM.
Kerjasama dan saling menghormati satu sama lain terserlah dalam hubungan PH-BN di Negeri Sembilan yang membawa kekuatan sendiri.

“Harapan saya supaya di Negeri Sembilan dan negeri lain sebaiknya ‘and on base effort basis’ (dan berasaskan usaha asas) kita pastikan supaya kerajaan negeri sama dengan kerajaan pusat untuk dapat urus negeri dan negara dengan teratur,” kata Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO.
Untuk PN, kegagalan menarik masuk Khairy Jamaluddin, bekas Ahli Parlimen Rembau memberi kesan kepada strategi untuk menawan kubu kuat PH-UMNO, termasuk Negeri Sembilan.
Namun ia tidak melunturkan niat gabungan itu membuat kejutan dengan mengatur ceramah serta melancarkan manifesto pelbagai janji.
“Kalau ikutkan kempen, macam-macam cakap tetapi akhir ceritanya kita mesti menganalisa dan meneliti kepada siapa yang boleh kita berikan kepercayaan untuk memimpin dan mentadbir. Insya-Allah,” kata Mohamad lagi.
Penganalisis politik berpandangan keghairahan parti politik memberi fokus kepada isu nasional berbanding isu setempat tidak menguntungkan rakyat.
“Parti bertanding harus melihat dalam konteks berbeza, ‘its not all on national issue, its more on local issue’ (bukan semua berkaitan isu nasional, lebih kepada isu tempatan) apa yang rakyat tempatan akan dapat, apa yang kerajaan negeri boleh buat. So ini adalah perkara yang sangat memberi makna kepada masyarakat,” ujar Dr Mohd Azmir.