Tumpuan :
Nasional

PRN 2023: PM selesai mengundi, mohon pengundi keluar awal tanpa tangguh

Oleh: Selwam Arjunan

PERMATANG PAUH: Perdana Menteri meminta pengundi untuk keluar awal menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing dalam pilihan raya negeri hari ini.

Beliau berharap proses pengundian berlaku dalam keadaan aman dan lancar sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk di enam negeri terbabit.

“Daripada pemantauan kita setakat ini, suasana di keenam-enam negeri berada dalam keadaan baik dan tenang, Alhamdulillah.”

“Saya minta pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Musim kempen sudah selesai, jadi kembali bersilaturrahim.”

“Mengundi dengan aman, harap keluar awal dan jangan tangguh tanggungjawab untuk mengundi lebih awal,” katanya selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti, di sini, pagi tadi.

Beliau tiba bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak pada jam 9.30 pagi.

Selepas menyemak saluran, kedua-dua mereka selesai mengundi pada jam 9.40 pagi.

Mereka mengundi di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang ditandingi calon Pakatan Harapan (PH), Faiz Fadzil dan calon Perikatan Nasional (PN), Amir Hamzah.

Anwar menyeru semua pihak untuk bekerja bersama dengan kerajaan negeri baharu yang dibentuk kelak.

“Ini PRN, sementara itu Kerajaan Persekutuan akan berjalan tugas seperti biasa mulai esok.”

“Kita akan meneruskan kerja kita dan keputusan akan menentukan kepemimpinan kerajaan negeri yang baharu,” katanya.

Loading...
Terkini