comscore
Tumpuan :
Nasional

PRN 2023: Walaupun masih berpantang, Sarjan Rohafizah tetap mahu mengundi

Rohafizah yang masih dalam tempoh berpantang, bersemangat menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena PRN Pulau Pinang di Dewan Gemilang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Bandar Perda, Bukit Mertajam. – FOTO NSTP

BUKIT MERTAJAM: Seorang anggota polis wanita bersemangat menunaikan tanggungjawab membuang undi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN), biarpun baru 12 hari bersalin anak ketiga.

Sarjan Rohafizah Abdul Hamid, 38, berkata, dia memandu sendiri ke pusat pengundian di tempat kerjanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, bagi menjalankan kewajipan berkenaan.

Menurutnya, dia yang tinggal di Guar Perahu, di sini, membuang undi bagi memilih wakil rakyat untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya.

“Saya semangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih walaupun sedang berpantang yang hari ini memasuki hari ke-12.

“Dengan menyarung ‘uniform’, saya hadir dengan memandu sendiri dari rumah ke IPD dalam masa setengah jam ke sini.

“Suami tidak dapat menemani saya kerana dia yang menjaga ketiga-tiga anak kami di rumah tetapi berbekalkan semangat itu (mengundi), saya memandu perlahan-lahan dan syukur semuanya dipermudahkan,” katanya ketika ditemui selepas membuang undi awal, hari ini.

Terdahulu, Rohafizah yang bertugas di Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) berjalan kaki menuju ke pusat pengundian sebelum diberikan khidmat kerusi roda oleh kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya sebaik mengetahui keadaannya.

Seramai 695 anggota dan pegawai polis di daerah itu menjalankan kewajipan mereka dalam pengundian awal, hari ini.

Loading...
Terkini