Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
DUBAI: Hubungan perdagangan yang kukuh antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam industri halal mampu memenuhi permintaan yang tinggi terhadap produk halal premium Malaysia di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia telah membangunkan sistem pensijilan halal yang komprehensif dan dipercayai di peringkat global melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Katanya, pensijilan halal negara diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan 88 badan mengiktiraf sijil terbabit.
“Malaysia juga telah membina ekosistem halal yang kukuh dan matang, yang secara konsisten berada di kedudukan teratas Indeks Ekonomi Islam Global,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian MIHAS@Dubai di sini hari ini.
Tambahnya, pencapaian ini mencerminkan komitmen teguh Malaysia terhadap standard, kualiti, dan integriti yang tinggi untuk memajukan sektor halal global.
Lebih penting, UAE muncul sebagai destinasi terbesar untuk produk halal Malaysia di kalangan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dengan import bernilai US$256 juta (RM1.13 bilion).
Melalui penganjuran MIHAS@ Dubai, kerajaan menyasarkan pencapaian jualan eksport sebanyak US$250 juta (RM1 bilion).
Untuk rekod, Malaysia mencatatkan eksport produk halal bernilai US$12.5 bilion (RM55 bilion), dengan MIHAS memainkan peranan penting dalam membuka potensi yang lebih besar untuk industri ini, pada 2023.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.