Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) merampas 70,000 produk tradisional tidak berdaftar dan 70 produk kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM10 juta dalam Ops Joint yang dijalankan di Jelutong, di sini, 4 November lalu.
Pengarah JKNPP, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata rampasan itu dilakukan dalam operasi melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Pulau Pinang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia ke atas dua premis yang melakukan perniagaan dalam talian.
“Hampir 70,000 kotak produk tradisional tidak berdaftar dan lebih 70 kotak kosmetik tidak bernotifikasi telah berjaya dirampas.
“Jumlah keseluruhan hasil rampasan dianggarkan bernilai RM 10.1 juta.
“Operasi yang dijalankan ini membuktikan bahawa pihak KKM sentiasa mengambil serius terhadap aduan awam bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi termasuk penjualan secara dalam talian yang telah menjadi trend pada masa kini.
“Para pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau testimoni di laman sesawang, platform media sosial serta aplikasi e-dagang dengan tuntutan perubatan yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Ia boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Katanya, orang awam boleh menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.