comscore
Tumpuan :
Nasional

Prof. Shahrin Sahib mulakan tugas sebagai Naib Canselor baharu UiTM

Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin menyampaikan ucapan sulung di Bangunan Canseleri UiTM Shah Alam pagi tadi. Foto ihsan UiTM

SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu, Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, memulakan tugas secara rasmi hari ini.

Ketibaan beliau di Bangunan Canseleri, UiTM Shah Alam pada jam 8.45 pagi disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datin Dr. Suzana Sulaiman; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar ), Profesor Dr. Haji Mohamad Sazili Shahibi dan barisan pengurusan Universiti.

Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin dilantik sebagai Naib Canselor UiTM ke-7, berkuatkuasa mulai 2 November 2023 untuk tempoh tiga tahun.

Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin (duduk kiri) ketika sidang media selepas memulakan tugas di UiTM Shah Alam. Turut hadir Pengerusi LPU Prof. Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose (duduk kiri) dan barisan Pengurusan Universiti. Foto ihsan UiTM

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan dari Purdue University West Lafayette, Amerika Syarikat beliau  sebelum ini  melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Pemprosesan Selari (Parallel Processing) di University of Sheffield, United Kingdom.

Beliau mengambil alih tugas yang sebelum ini disandang oleh Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor.

Profesor Datin Dr. Suzana kemudian menyerahkan nota tugas kepada Datuk Prof. Tr. Dr. Shahrin sambil disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin adalah Profesor Kanan dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM pada tahun 2013 sebelum menggalas amanah sebagai Naib Canselor UTeM untuk tempoh lima tahun pada tahun berikutnya. Selain memiliki pengalaman kepimpinan di universiti awam, Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin turut memiliki pengalaman pentadbiran di beberapa institusi pendidikan tinggi swasta antaranya Universiti Multimedia (MMU) dan Kolej Yayasan Melaka.

Dalam ucapan sulungnya, beliau antara lain menekankan supaya seluruh warga UiTM  menjadi warga yang memberikan manfaat kepada orang lain dengan ilmu yang diberikan oleh Allah S.W.T. dan membudayakan amalan membaca dalam kalangan warga Universiti.

Beliau turut menyentuh mengenai DNA UiTM, iaitu  perlunya memberi makna pada penghayatan usaha, takwa mulia dan jati diri sebagai bangsa Melayu.

Loading...
Terkini