Tumpuan :
Nasional

Program 2TM dedah hala tuju dan dasar baharu Kerajaan Madani

Foto hiasan

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 merupakan inisiatif kerajaan bagi menguar-uarkan dasar baharu kerajaan serta hala tuju Kerajaan Madani.

Sekretariat (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam menerusi kenyataannya hari ini berkata, program berkenaan juga selari dengan hasrat kerajaan untuk melakukan transformasi terhadap perkhidmatan awam.

Bertemakan Madani di Hati, Rakyat Disantuni, program berkenaan turut membentangkan laporan berkala mengenai status pelaksanaan yang telah diambil kerajaan.

“Berpandukan lima Teras Keberhasilan Reformasi, agenda ini memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan dan integriti dalam perkhidmatan awam, dengan fokus kepada penghayatan nilai dan tatakelola, pembangunan modal insan, pembangunan organisasi, penyampaian perkhidmatan, serta memperkasakan sinergi antara sektor awam dan swasta.

“Sepanjang penganjuran konvensyen, beberapa sesi wacana yang melibatkan wakil pihak kerajaan dan swasta termasuk ahli akademik serta badan bukan kerajaan (NGO) akan turut diadakan.

“Sesi ini merupakan wadah bagi pihak kerajaan untuk mendapatkan maklum balas secara terus berdasarkan maklum balas pemain industri serta data dari kajian akademik di lapangan,” menurut kenyataannya hari ini.

Majlis perasmian program berkenaan akan disempuranakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 November.

Program dijadual berlangsung mulai 22 hingga 24 November 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini